WE CARE!

Monday, January 9, 2012

Salam 2012!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog CARE!

Selamat menyambut tahun baru 2012. Semoga dengan kehadiran angka baru dalam kehidupan kita ini akan memberikan makna yang bernilai ke arah perjuangan melestarikan alam sekitar dan membina masyarakat yang peka kepada kehijauan dan kesejahteraan bumi.

2009-2012, satu tempoh yang telah dilalui oleh CARE setakat ini. Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan dalam mendidik masyarakat memahami peranan mereka sebagai pengguna dan pengurus alam sekitar yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Penyertaan CARE sehingga ke peringkat antarabangsa membuktikan bahawa pergerakan yang dibawa oleh CARE ini bukanlah kecil tetapi semakin melebarkan langkah untuk mencapai objektif utama penubuhannya - Melahirkan masyarakat yang peka terhadap kelestarian alam sekitar melaksanakan proses pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui pendidikan.

Sokongan yang diberikan oleh banyak pihak seperti Sahabat Alam Malaysia dan Pengurusan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun sendiri banyak membantu CARE melaksanakan pelbagai program yang telah disusun. Walaupun terdapat beberapa kekangan dari segi logistik dan kewangan, kesungguhan yang ditunjukkan oleh para sukarelawan CARE dalam setiap program tidak pernah mengecewakan. 

Harapan CARE pada tahun ini dan seterusnya adalah untuk memperkasakan lagi perjuangan melalui latihan-latihan dan pengupayaan insan generasi pelapis agar apa yang telah dicipta tidak tersia-sia begitu sahaja tanpa ada kesinambungan. "Mewujudkan sesebuah kelab itu mudah, tetapi untuk mempertahankannya menempah cabaran". Itulah kata-kata yang dilontarkan oleh Puan Hajah Rohani, Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainun ketika merasmikan penubuhan CARE pada 29 Mac 2009. Oleh itu, ayuh! Bangunlah wahai generasi pelapis, teruskan perjuangan. Wariskan pula perjuangan ini kepada generasi seterusnya.

"Perjuangan memerlukan pengorbanan. Jika perjuangan itu terasa senang sekali, maka pasti ada kesilapan dalam perjuangan tersebut. Berpatah balik dan bermulalah semula. Ini kerana, tidak ada perjuangan yang mudah." (Fatin Safiah, pencetus idea pengorganisasian CARE).

Sekian, terima kasih.

Mohamad Syamsul Izwan Bin Md Fauzi
Pengerusi CARE IPTB



Tarikh: 25-26 Disember 2011
Tempat: Pontian, Johor.

Aktiviti:
Penanaman Anak Bakau Sekitar Pantai Rambah, Pontian

Melukis Poster Alam Sekitar

Refleksi dan Resolusi Projek Bakau

Penubuhan Kelab Aktivis Remaja Alam Sekitar (ARAS) daerah Pontian.