WE CARE!
Environmental law is a body of law, which is a system of complex and interlocking statutes, common law, treaties, conventions, regulations and policies which seek to protect the natural environment which may be affected, impacted or endangered by human activities. Some environmental laws regulate the quantity and nature of impacts of human activities: for example, setting allowable levels of pollution. Other environmental laws are preventive in nature and seek to assess the possible impacts before the human activities can occur.
Environmental law as a distinct system arose in the 1960s in the major industrial economies. While many countries worldwide have since accumulated impressive sets of environmental laws, their implementation has often been woeful. In recent years, environmental law has become seen as a critical means of promoting sustainable development (or "sustainability"). Policy concepts such as the precautionary principle, public participation, environmental justice, and the polluter pays principle have informed many environmental law reforms in this respect (see further Richardson and Wood, 2006). There has been considerable experimentation in the search for more effective methods of environmental control beyond traditional "command-and-control" style regulation. Eco-taxes, tradeable emission allowances and negotiated agreements are some of these innovations
SEJAK beberapa bulan terakhir ini, Malaysia kelihatan seperti sebuah negara yang berada dalam zon bencana alam serius. Apa tidaknya, bermula dengan beberapa tragedi tanah runtuh di Selangor, termasuk Bukit Antarabangsa, batuan runtuh di Ipoh, tanah runtuh di Miri, dan banjir besar di beberapa daerah, termasuk di Sabah dan Sarawak. Walhal, Malaysia sebetulnya boleh dikategorikan sebagai negara yang 'hampir bebas' daripada bencana alam.
Malaysia pada umumnya bukan sebuah negara yang bergunung-ganang, dengan ramai penduduk tiada pilihan, melainkan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan yang berisiko tanah runtuh. Sungai kita tidak terlalu panjang dan berdataran banjir yang luas sehingga penempatan yang sesuai untuk membina kawasan perumahan amat terhad.
Negara kita juga jauh daripada 'jalur lingkaran api', di mana bencana gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi – berada pada tahap risiko yang sangat rendah. Begitupun, negara kita begitu prihatin dengan rakyatnya yang ditimpa bencana alam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa tanah runtuh dan banjir di Miri baru-baru ini, antara lain menyatakan negara kita terkehadapan dan sering diteladani dalam konteks respon kepada mangsa bencana. Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM200 juta setahun untuk membantu rakyat ditimpa bencana, dan beberapa tahun terakhir ini, negara sudah membelanjakan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk membantu dan membaikpulih infrastruktur akibat bencana banjir dan tanah runtuh.
Bencana alam adalah isu yang sangat kompleks dan bersifat rentas sektor. Sangat sukar meramalkan bila, di mana, dan magnitud sesuatu kejadian bencana. Banyak kejadian bencana, hanya jelas dapat dilihat impaknya selepas berlaku, selepas mengorbankan nyawa dan harta benda. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan negara membangun lebih banyak memberikan tumpuan dan membuat persediaan untuk respon apabila bencana menimpa rakyatnya.
Walaupun, respon sangat perlu – menyelamatkan nyawa, mengawal kerosakan yang lebih besar dan mententeramkan keresahan masyarakat awam, pada hakikatnya respon hanya satu usaha terakhir yang mesti dilakukan untuk menangani bencana. Mengurus bencana secara lebih efektif ialah dengan menyediakan rancangan jangka panjang berstrategi bagi mengurangkan risiko bencana.
Proses pengurangan risiko bencana yang paling asas ialah penyelidikan dan pengumpulan maklumat mengenai bencana secara berterusan. Apabila kita mempunyai maklumat mengenai cirian curahan hujan untuk 500 tahun terakhir, kita akan dapat meramal dengan kepercayaan yang tinggi mengenai corak curahan hujan untuk 500 tahun akan datang.
Apabila kita peta dengan terperinci kawasan di landa banjir, kedalaman air banjir, kelakuan curahan hujan, jenis pembangunan ketika itu dan impaknya, sebetulnya kita sudah mempunyai maklumat penting untuk berdepan risiko bencana banjir pada masa akan datang.
Begitu juga dengan kejadian tanah runtuh, sama ada ia mengorbankan nyawa atau tidak, pengetahuan mengenai kedudukan, saiz, mekanisme kegagalan, faktor penyebab dan pencetus, dan impaknya adalah maklumat paling penting untuk membolehkan kita meramal potensi dan risiko kejadian tanah runtuh akan datang.
Lebih banyak dan tepat maklumat terkumpul, lebih mudah dan jelas bagi kita meramalkan dan merancang tindakan yang boleh diambil untuk meminimumkan impaknya kepada masyarakat dan harta benda. Pendekatan pengurangan risiko bencana yang paling efektif ialah dengan mewujudkan dasar dan perancangan pengurusan bencana secara bersepadu dan jangka panjang. Ada tiga situasi kawasan berisiko bencana ditangani dalam konteks perancangan.
Pertama, kawasan yang sudah dibangun berada pada zon berisiko bencana. Kawasan seperti ini memerlukan perhatian serius dan tindakan pengurangan risiko bencana secara berterusan. Penilaian dan pemantauan terperinci mengenai risiko bencana diperlukan, dan keputusan perlu dicapai sama ada kerja membaikpulih atau pengukuhan boleh dilakukan bagi mengelak kejadian bencana, atau tindakan drastik mesti diambil untuk memindahkan komuniti yang terperangkap dengan risiko bencana yang tinggi ke kawasan lebih selamat.
Ada kalanya proses pemindahan boleh dilakukan menerusi proses perancangan secara beransur-ansur melalui konsep 'pembaharuan bandar', dan secara jangka panjang sesuatu kawasan berisiko bencana dijadikan zon guna tanah baru yang tidak menimbulkan risiko bencana kepada masyarakat.
Kedua ialah kawasan yang sudah ditetapkan sebagai zon pembangunan tetapi berdepan risiko bencana yang tinggi. Sebahagian daripada tapak sudah diperuntukkan untuk pembangunan tertentu dan sebahagian lagi masih dalam proses perancangan. Dalam situasi begini, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempunyai 'kekuatan politik' untuk membuat keputusan baru bagi mengelak kawasan berkenaan terus dibangunkan lantas berhadapan risiko bencana. Proses pendidikan awam, perbincangan sehingga membuat keputusan menang-menang, dan tindakan tegas perlu diambil untuk keselamatan awam.
Ketiga, kawasan milik kerajaan atau awam yang sememangnya sudah diisytiharkan sebagai hutan simpan atau kawasan pertanian, dan berada dalam zon berisiko bencana tinggi. Kawasan begini seharusnya dikekalkan dalam zon guna tanah sedia ada dan diisytiharkan juga sebagai kawasan berisiko bencana alam yang tidak harus dibenarkan untuk di ubah-guna menjadi kawasan pembangunan atau penempatan yang boleh menimbulkan masalah keselamatan awam pada masa akan datang.
Pendekatan paling berkesan untuk mengurangkan risiko bencana ialah pendidikan awam atau komuniti. Apabila masyarakat memahami dan menghayati konsep risiko bencana di sekitarnya, mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk terus berdepan dengan risiko bencana atau bertindak dengan lebih bijak untuk memilih tinggal di tempat lebih selamat.
Pendidikan awam perlu dilakukan secara berterusan, pengetahuan mengenai bencana perlu diterapkan dalam sistem pendidikan formal di sekolah dan universiti, dan pendidikan tidak formal melalui pelbagai cara, terutama bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana. Salah satu cara paling berkesan ialah menyediakan pusat maklumat, galeri atau muzium khas di kawasan yang pernah mengalami bencana besar, dan ini akan terus mengingatkan komuniti serta pengunjung di kawasan terbabit bahawa bencana pernah berlaku, dan boleh berlaku lagi pada masa depan.
Kesedaran dan penghayatan komuniti mengenai risiko bencana penting sebagai 'ejen perubahan'. Apabila wujud desakan masyarakat, akan wujud pula dasar dan keprihatinan kerajaan untuk memberikan perhatian serius mengenai risiko bencana. Akhirnya, pihak pemaju atau swasta terpaksa akur dengan kehendak masyarakat umum.
Malaysia bukanlah negara yang berdepan bencana serius dan sukar dibendung. Kejadian bencana alam paling meluas ialah banjir sungai – komuniti yang terbabit sudah mampu menyesuaikan diri dengan bencana. Bagaimanapun, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko bencana dan pada masa sama, memastikan lebih ramai komuniti dibebaskan daripada terus berdepan risiko bencana banjir ini.
Banjir kilat di kawasan perbandaran seperti Kuala Lumpur adalah banjir angkara manusia. Negara perlu membelanjakan wang yang banyak untuk menangani kesilapan yang kita lakukan pada masa lalu. Bencana tanah runtuh pula mula menjadi semakin serius di kawasan perumahan dan perbandaran disebabkan kerakusan pemaju yang ingin mengaut keuntungan tanpa memberi perhatian serius mengenai keselamatan awam.
Langkah jangka panjang yang paling efektif ialah usaha menghindar dan mengurangkan risiko bencana, bukannya tertumpu kepada aktiviti respon saja apabila berlaku bencana.
Musim tengkujuh menyebabkan banjir di beberapa negeri kebelakangan ini, menenggelamkan rumah dan merosakkan tanaman serta memaksa penduduk berpindah.
Namun, tidak semua mangsa banjir mengambil langkah berjaga-jaga memastikan keselamatan ahli keluarga terjamin, terutama megendalikan barangan elektrik.
Kita terlupa air ialah pengalir elektrik dan jika rumah ditenggelami banjir, kemungkinan penghuninya terkena renjatan elektrik amat besar berikutan palam elektrik yang terendam atau kemungkinan ada kabel yang terputus menyebabkan arus elektrik boleh mengalir di dalam air.
Berikutan itu, sebagai langkah berjaga-jaga ketika banjir, Tenaga Nasional Berhad (TNB), menasihatkan orang ramai mengutamakan aspek keselamatan.
TNB sebagai syarikat ultiliti tunggal membekalkan elektrik kepada penduduk Malaysia, meminta orang ramai segera menghubungi pejabatnya yang berdekatan jika mengalami sebarang masalah atau pertanyaaan berkaitan bekalan elektrik.
Talian khidmat TNB iaitu 15454, bersedia sepanjang masa menerima panggilan orang ramai yang menghadapi masalah berkaitan elektrik ,sama ada di dalam premis pelanggan atau membabitkan talian TNB di luar. Jika ternampak tiang elektrik tumbang dan terendam di dalam air atau ada kabel talian TNB yang terputus, segeralah hubungi talian khidmat TNB bagi mengelak ada yang menjadi mangsa terkena renjatan elektrik.
Langkah terbaik apabila air memasuki rumah dan berkemungkinan menenggelamkan barangan serta punca elektrik ialah mematikan suis utama kerana ia akan menghentikan seluruh pengaliran elektrik dari talian utama di luar ke rumah.
Mungkin ramai tidak melakukannya, sama ada terlupa atau mahu menggunakan perkakas elektrik tetapi biarlah bergelap menggunakan lampu suluh atau lilin daripada ada anggota keluarga ditimpa malang.
Elakkan mengguna perkakas elektrik sehingga dipastikan tiada punca atau kabel elektrik terendam di dalam air.
TNB menasihatkan orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika mengendalikan peralatan elektrik ketika masalah banjir, dengan tidak meyentuh sebarang peralatan elektrik atau suis dengan tangan basah selain tidak menggunakan sebarang peralatan yang terendam dalam air.
Orang ramai diminta menutup semua punca bekalan elektrik termasuk suis utama jika diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara dan tidak menghampiri sebarang peralatan yang menyalurkan tenaga elektrik seperti kabel elektrik, sama ada yang masih dalam keadaan sempurna mahupun terputus atau yang berada di atas tanah.
Selain itu, TNB meminta ibu bapa mengawasi anak-anak agar tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau kabel elektrik yang terputus serta tidak menghampiri kawasan yang dinaiki air hingga mencecah kabel elektrik, sama ada voltan rendah atau voltan tinggi kerana dikhuatiri masih mengalirkan elektrik.
Jika perlu berpindah, seboleh-bolehnya simpan barangan elektrik di tempat tinggi agar tidak ditenggelami kerana selain mengelak kerugian akibat perkakasan elektrik rosak, juga menjamin keselamatan apabila kembali ke rumah.
Pastikan semua barangan elektrik, termasuk peti sejuk dan mesin basuh benar-benar kering sebelum digunakan. Jika ada barangan elektrik yang kecil, seperti kipas dan pengisar ditenggelami banjir , jemur perkakas itu sehingga benar-benar kering sebelum disambung ke punca elektrik. Seelok-eloknyaminta juruelektrik memeriksa perkakas berkenaan sebelum digunakan.
TNB biasanya akan menutup bekalan elektrik ke pencawang, pepasangan dan wayar elektrik yang terjejas untuk sementara waktu sebagai langkah keselamatan dan akan hanya disambung semula setelah banjir surut dan keadaan disahkan selamat.
Sumber Maklmumat: Harian Metro
El Nino dan La Nina berlaku disebabkan interaksi antara permukaan laut dan atmosfera di Pasifik Tropika.
Perubahan di lautan memberi impak kepada atmosfera dan corak iklim seluruh dunia.
Perubahan atmosfera ini seterusnya memberi impak kepada suhu dan arus lautan semula. Sistem ini berulang daripada keadaan suam (El Nino) kepada neutral (La Nina sejuk) dengan purata pusingan antara 3 hingga 4 tahun.
Kedua-duanya adalah fasa ekstrem yang berlaku semula jadi dalam kitaran iklim yang dikenali sebagai El Nino atau Ayunan Selatan (ENSO).
Kedua-dua terminologi merujuk kepada perubahan suhu permukaan laut pada skala besar di sekeliling kawasan tropika Pasifik Timur.
Haba dan lembapan ini meliputi kawasan tropika ketika El Nino melanda tetapi ketika La Nina berlaku, tiupan angin lazim timuran menjadi bertambah kuat sehingga menyebabkan ‘cold upwelling’ di kawasan perairan tropika dan Amerika Selatan meningkat.
Pada ketika ini, suhu permukaan laut di kawasan tropika boleh menurun sehingga 7 darjah F di bawah normal.
Sumber Maklumat: Berita Minggu
KLCC turut menyertai Earth Hour dengan bergelap selama sejam
PADA 28 Mac lepas pukul 8.30 malam hampir seluruh dunia termasuklah monumen-monumen seperti Menara Eiffel di Perancis, jambatan Sydney Harbour dan Opera House di Sydney, jambatan Golden Gate di San Francisco, bangunan tertinggi Amerika Syarikat, Menara Sears di Chicago hinggalah Menara Kuala Lumpur dan bangunan Angkasapuri bergelap selama sejam bersempena dengan kempen Earth Hour yang masuk tahun ketiga tahun ini.
Lebih membanggakan banyak bangunan mercu tanda di 75 negara lain turut serta menjayakan pergerakan Earth Hour itu. Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan proaktif bagi menangani isu pemanasan global.
Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap dengan memadamkan semua lampu yang menggunakan tenaga elektrik tepat pukul 8.30 malam waktu tempatan.
Kempen yang mula digerakkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan pertama kali melibatkan hanya bandar raya Sydney pada Mac 2007.
Sasaran kempen ini ialah mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global.
"Earth Hour akan menjadi penanda aras bahawa dunia akan membantu menyelesaikan masalah ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF Carter Roberts yang mempelopori Earth Hours.
Pada tahun pertama, sebanyak 2.2 juta warga Australia menyokong kempen tersebut. Malah mercu-mercu tanda utama Australia termasuk Sydney Harbour dan Opera House juga telah digelapkan.
Hasilnya amat membanggakan, bukan setakat mencapai sasaran pengurangan penggunaan tenaga sebanyak lima peratus, malahan dua kali ganda berbanding sasaran asal iaitu sebanyak 10 peratus.
Justeru selepas dilancarkan semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu di Bali pada 14 Disember lepas, WWF dari seluruh dunia telah berganding bahu berkempen bagi mencapai matlamat tersebut.
Lebih unik lagi projek ini telah menyatukan pelbagai negara, pemilik perniagaan dan kediaman dalam satu misi demi kesejahteraan sejagat.
Namun sana-sini kita sering terdengar mengenai isu perubahan iklim akibat fenomena pemanasan global. Namun apakah sumbangan kita sebagai penduduk bumi bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, penyebab utama fenomena pemanasan global ini?
Pemanasan global
Bumi kini umpama sedang mengalami "demam panas" akibat pemanasan global yang mengakibatkan iklim dunia dan kehidupan penghuninya kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding kesihatan dunia itu sendiri.
Sebenarnya sesiapa saja boleh membantu mengurangkan pelepasan gas tersebut. Malah banyak perkara yang mudah dilakukan dalam kehidupan harian seperti mengurangkan penggunaan atau mematikan terus peralatan elektrik yang tidak diperlukan dan menggunakan mentol jenis jimat tenaga atau bertindak tidak membakar sampah di kawasan terbuka.
Daripada ilmuwan hinggalah orang kebanyakan bagaikan sepakat bahawa gejala pemanasan global boleh mengundang kemudaratan. Hakikatnya pemanasan global adalah kesan daripada aktiviti manusia. Lebih menjelikkan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) adalah penyumbang utama kepada pemanasan global.
Meningkatnya emisi gas rumah kaca adalah punca terjadinya pemanasan global. Namun kita sendiri tertanya-tanya bagaimana gejala pemanasan global terjadi. Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah gas-gas karbon (wap air, karbon dioksida, karbon monoksida) yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi.
Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi makin meningkat.
Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa.
Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan beratus atau mungkin beribu kematian sejak tahun 2000.
Gelombang 'kepanasan' ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaan. Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini sementara negara seperti AS dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada 2005.
Para pengkaji telah menjalankan kajian mengenai pengaruh pemanasan global terhadap lautan beku di sekitar kutub. Hasil kajian menunjukkan sekiranya tingkat pelepasan emisi gas rumah kaca berterusan, besar kemungkinan kita tidak akan menemui ais di wilayah Kutub Utara pada tahun 2040.
Disebabkan pemanasan global, pengurangan ais pada dekad akan datang akan menjadi lebih dramatik. Apabila ais mencair, samudera akan mengirim lebih banyak haba kepada Kutub Utara dan air yang luas terbuka itu akan menyerap lebih sinaran matahari yang seterusnya mempercepatkan proses pencairan ais.
Bagaimanapun kecairan ais laut tidak meningkatkan paras air laut kerana air pepejal berada dalam air cecair.
Tetapi jika ais dan salji pada negeri Greenland mencair, paras air laut dijangka meningkat sebanyak tujuh meter. Sesungguhnya kajian terbaru ini memberi ramalan bahawa dalam tempoh 30 tahun saja fenomena itu akan berlaku gara-gara pemanasan global yang tidak terkawal.
Lebih membimbangkan fenomena pemanasan global ini akan mengakibatkan krisis makanan dunia yang telah berlaku sekarang akan memburuk pada masa akan datang.
Kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia tidak kira di mana mereka berada. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai malang.
Sama ada kita suka atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk.
Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun. Perbandingan dengan bencana pada 1950 oleh beberapa pertubuhan antarabangsa menunjukkan peningkatan dua kali ganda kejadian ribut taufan sementara kejadian banjir, gelombang haba dan kemarau pula telah meningkat sebanyak empat kali ganda.
Kesimpulannya, setiap agama di dunia tidak menolak pembangunan hatta kemodenan bahkan ia dituntut demi kesejahteraan manusia itu sendiri. Tidak mungkin manusia mampu untuk memenuhi keperluan prasarana segenap populasi manusia yang semakin berkembang tanpa digerakkan pembangunan itu sendiri.
Hari ini kita sudah dapat melihat kesan tersebut seperti masalah kesihatan, perubahan cuaca dunia dan pencemaran alam. Kesemuanya berkait rapat antara satu sama lain dan pada dasarnya berpunca daripada perbuatan tangan manusia sendiri. Hakikatnya isu pemanasan global berpotensi mencetuskan kesan kemusnahan yang mengancam kelangsungan hidup manusia di muka bumi jika kita tidak bertindak dari sekarang.
Mungkin hari ini fenomena sedemikian masih belum jelas kelihatan dan memerlukan kajian mendalam di peringkat global bagi mengesahkan kesan pada skala besar terhadap segala macam pencemaran alam yang berlaku.
Namun ia seharusnya mampu membuka mata kita betapa pentingnya usaha memelihara dan memulihara alam sekitar agar bumi ini sentiasa selamat dan sejahtera untuk didiami oleh manusia pada zaman ini mahupun generasi seterusnya.