WE CARE!

Thursday, May 14, 2009

PERUBAHAN IKLIM


Kita Perlu Bersedia

Pemanasan global memerlukan kita untuk menangani kesan perubahan cuaca. Tetapi, sebahagian besar masyarakat Malaysia tidak sedar ataupun bersedia untuk menghadapi perubahan yang tidak diduga ini.

Kita perlu mula merekod iklim yang keterlaluan dan kekerapanya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Ini dapat membantu agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak secara langsung dalam mengurangkan kesan perubahan cuaca. Ini juga meliputi kerja-kerja infrastruktur seperti saliran dan aktiviti pihak berkuasa tempatan untuk menghadapi perubahan ini serta meminimumkan kesannya yang tidak dapat di kawal kadang-kadang boleh mengatasi persediaan kita. Kita hanya boleh mengambil langkah untuk menangani kesan daripada perubahan cuaca sahaja.

Bagaimana Kita Boleh Melakukannya?

Perubahan keadaan cuaca mesti direkodkan dengan menggunakan pengkalan data yang cekap untuk merekodkan perubahan seperti tiupan angin, kemarau, aras air bawah tanah, banjir, kelebatan hujan, pengawasan kawasan risiko tanah runtuh dan sebagainya. Data-data ini diselaraskan dengan kawasan-kawasan yang mempunyai kesamaan geografi dan juga berkemungkinan mengalami masalah yang sama. Melalui kaedah ini tindakan mengatsasi kesan iklim melampau ini mungkin dapat dikurangkan.

Perubahan cuaca juga mengakibatkan kesan yang memudaratkan ekosistem kita. Haiwan dan tumbuhan sangat peka terhadap perubahan persekitaran yang mendadak. Adalah penting untuk mengkaji perubahan di hutan-hutan kawasan tanah tinggi dan tanah rendah dan bagaimana flora dan fauna menyesuaikan diri kepada perubahan ini.

Kajian mengenai kesan perubahan cuaca kepada hutan dan juga penghuninya akan menjadi sebahagian daripada tindakan untuk memelihara kawasan ini. Ini juga patut dijalankan dengan kapasiti penyelidikan yang baik melalui pakar-pakar yang sesuai. Terdapat satu keperluan untuk membangunkan kepakaran di dalam negara serta menjalinkan semua penyelidikan untuk kebaikan bersama.

Kebanyakan rekabentuk infrastruktur adalah lama dan ia memerlukan pembaikan dalam konteks iklim melampau. Kapasiti operasi mungkin tidak dapat menampung perubahan yang sedang berlaku sekarang. Struktur-struktur ini mungkin tidak dapat menampung peningkatan air permukaan (surface run-off) dan akan memberikan impak negatif kepada penghuni tempatan. Pada masa yang sama, lebih banyak kejadian tanah runtuh boleh berlaku kerana kestabilan cerun banyak bergantung kepada kandungan air dalam tanah.

Struktur bangunan pula perlu dikaji, perubahan iklim boleh menyebabkan keretakan pada struktur yang boleh memberikan kelemahan pada kekuatan bangunan. Tambahan pula di Malaysia gegaran disebabkan gempa bumi semakin dirasai. Kajian-kajian sedang dijalankan untuk melihat kepada hubung kait antara perubahan cuaca dan plat tektonik (plat-plat membentuk bumi).

Kita juga patut melihat kesan perubahan cuaca, kepada sektor pertanian. Hasil yang sekata memastikan bekalan yang mencukupi. Walaubagaimanapun, perubahan cuaca boleh memberikan kesan kepada kapasiti penghasilan dan boleh menyebabkan gangguan bekalan makanan.

Industri air dirawat juga perlu peka akan impak iklim melampau seperti hujan yang lebat dan juga kemarau yang panjang ke atas bekalan air mentah.

Contoh pelaksanaan pengurangan kesan perubahan iklim sememangnya wujud Environment Canada memastikan komunikasi yang kerap kepada pegawai-pegawai peringkat daerah untuk memastikan penyampaian informasi yang tepat dan cepat. Terdapat juga lawan web yang sedia ada untuk mendidik masyarakat untuk bersdiap sedia dan senantiasa peka terhadap perubahan untuk mengelakkan sebarang keadaan yang tidak di ingini. Walaupun kejadian di kanada dan Malaysia jauh berbeza, tetapi cara informasi disebarkan dan kecekapan pelaksanaan boleh digunakan.

Tindakan sebegini juga akan memastikan rakyat bersedia dan mengurangkan kehilangan nyawa atau kecederaan jika berlaku kejadian yang tidak di ingini.

Kita patut memfokuskan usaha-usaha penggabungan secara menyeluruh untuk mengatasi kesan perubahan cuaca. Setiap langkah yang di ambil sekarang boleh menyelamat banyak nyawa di masa depan. Masa depan terletak ditangan anda.

Sumber : Buletin Pengguna, Januari 2009
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

0 yang |CARE!|:

Post a Comment

Show your care!