WE CARE!

Showing posts with label Renungan Bersama. Show all posts
Showing posts with label Renungan Bersama. Show all posts
Thursday, December 24, 2009

Kita perlu berubah!

Semua orang perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar. Hal ini kerana, alam sekitar adalah amanah kita dan kita sebagai khalifah yang telah dipilih untuk mentadbir bumi ini perlu sentiasa peka dengan tanggungjawab yang dipikul. Senario sekarang, masyarakat meletakkan tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar ke atas bahu pihak lain seperti majlis perbandaran, ejen-ejen pembersihan, kerajaan, NGO dan lain-lain. Perkara seumpama ini perlu diperbetulkan dan mind set mereka perlu diubah supaya lebih terbuka untuk menerima hakikat bahawa alam sekitar ini perlu dipelihara dan dipulihara secara bersama.

Alam ini mempunyai ikatan saling bergantung yang kuat antara satu dengan yang lain. Sebagai contoh, manusia sukar untuk bernafas jika tumbuh-tumbuhan tidak menghasilkan gas oksigen dan pokok akan mati jika tidak mendapat bekalan karbon dioksida untuk bernafas yang dibebaskan oleh manusia dan haiwan. Melihat kepada kebergantungan ini, maka kita perlulah berusaha mengikis perasaan pentingkan diri sendiri dan belajar untuk menerima alam sekitar sebagai ahli keluarga kita dalam ekosistem bumi ini.

Tidak rugi untuk kita menjaga alam sekitar ini. Hatta, tidak membuang sampah merata-rata pun sudah mampu menyelamatkan alam sekitar kita. Mungkin penyataan ini nampak agak lucu, tetapi cuba bayangkan jika setiap seorang yang berada di atas muka bumi ini membuang sampah merata-rata, maka sudah berapa juta sampah yang akan terhasil? Renung dan fikirkan.



Jika kita tidak menjaga alam sekitar, kita jugalah yang akan rugi. Hutan-hutan yang dimusnahkan merugikan bekalan oksigen kita. Udara-udara yang dicemari merugikan wang kita apabila terpaksa melaburkan banyak duit membeli ubat batuk, asma, radang paru-paru dan lain-lain. Begitulah seterusnya.

Bila kita akan berubah? Jika anda berniat untuk berubah, berubahlah disaat ini. Jangan tunggu untuk berubah esok atau lusa. Ingatlah, jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah. Bila nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh dibuat.



Bumi sudah rosak dan kerosakan ini akan berlarutan jika kita masih lagi bersikap tidak mahu mengambil tahu. Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah memulihara alam ini supaya kita dapat hidup dengan aman dan harmoni. Satu perkara yang paling penting untuk semua ialah, alam ini amanah Yang Maha Esa untuk kita. Jagalah alam ini seperti kita menjaga apa yang paling kita sayangi.
Sunday, December 6, 2009

Dunia Kita Sekarang

Perasankah anda sekarang bahawa bumi kita sekarang seakan-akan ingin memberontak? Begitu banyak bala bencana yang melanda dunia. Gempa bumi, banjir besar, tsunami dan lain-lain lagi semakin kerap berlaku.

Sedarkah anda bahawa kita sedang menerima padah akibat perbuatan kita sendiri? Selama ini kita bersikap tidak adil terhadap alam sekitar bahkan memandang remeh kepadanya. Sikap kita yang begitu rakus mengaut keuntungan daripada alam sekitar - pembalakan, penambakan laut dan lain-lain lagi akhirnya membawa kebinasaan kepada diri kita sendiri.

Sebenarnya, alam ini dianugerahkan kepada kita untuk kita jaga dan urus dengan baik. Alam ini juga satu amanah dari Allah. Setiap dari kita ini mempunyai tanggungjawabnya masing-masing terhadap alam sekitar. Apa saja yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, akan disoal dan ditanya. Sudahkah anda bersedia untuk semua itu?

Tanya diri anda sendiri:

  1. Pernahkah aku mengambil tahu tentang alam sekitar?
  2. Pernahkah aku merosakkan alam sekitar?
  3. Adakah perbuatanku akhirnya menyakiti alam sekitar?
  4. Pernahkah aku berusaha membawa kebaikan kepada alam sekitar?
Jika dilihat kepada situasi sekarang, masyarakat kita sebenarnya semakin jauh dengan alam sekitar padahal alam sekitar itu sentiasa membantu kita setiap saat dan ketika.

Ayuh semua!! Kita makmurkan alam kita ini. Hijaukan mereka kembali!!

Ingatlah amanah dari-Nya yang terpikul di atas bahu kita.

Amin.
Sunday, April 19, 2009

Quote Today

"Allahlah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat belayar padanya dengan seizin-Nya, dan supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. Dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi semuanya,(sebagai rahmat) daripadanya. Sesungguhnya ..."
(Al-Jaatsiyah: 12-13)

Ayat ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada manusia sehingga menundukkan alam ini untuk kegunaannya. Apa yang perlu diingat sekarang adalah alam semesta yang terbentang luas ini sebenarnya adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik oleh semua manusia supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang tidak mensyukuri nikmat Allah. Tanggungjawab kita adalah memastikan bahawa alam semula jadi ini tidak rosak dan tercemar serta mendatangkan kemudaratan kepada penghuninya pada masa depan.
Thursday, April 16, 2009

Quote today...

Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan) gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi, bagaimana ia didatarkan."
Al-Ghaasiyah: 18-20).


Segala apa yang ada di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah. Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhluk-Nya.