WE CARE!

Friday, December 18, 2009

PEMBANDARAN



Perubahan yang dialami oleh sesebuah kawasan dalam proses pembandaran

-Berlaku pertambahan penduduk.
-Kawasan bandar menjadi semakin luas.
-Tempat tinggal yang bersifat tradisional berubah menjadi moden.
-Pekerjaan penduduk berubah daripada pertanian kepada perdagangan atau perindustrian.
-Corak kehidupan penduduk berubah daripada cara tradisional kepada cara moden.

Faktor-faktor yang menggalakkan berlakunya pembandaran

-Peningkatan peluang-peluang pekerjaan.
-Kemajuan pendidikan
-Pertumbuhan semulajadi penduduk
-Imigrasi dari luar bandar
-Faktor politik

Proses pembandaran yang tidak seimbang.

Proses pembandaran yang tidak sempurna akan memberikan kesan yang negatif kepada alam sekitar. Sebagai contoh, kadar pencemaran alam sekitar di kawasan bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar.

Pembebasan asap dikawasan industri, penggondolan bukit untuk membina kawasan perumahan, pertambahan bilangan kenderaan di jalanraya dan kekurangan kawasan pelupusan sampah. Kesemua ini merupakan sebahagian kecil daripada penyumbang kepada pencemaran alam sekitar di kawasan-kawasan yang sedang mengalami proses pembandaran.

Masalah pencemaran kesan dari proses pembandaranyang tidak sempurna ini akan terus menjadi ancaman kepada kualiti hidup kita sekiranya kita tidak mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kesimpulannya, proses pembandaran yang tidak sempurna akan mewujudkan pelbagai masalah terutamanya terhadap alam sekitar kita dan akhirnya menyebabkan berlakunya pemanasan global!

Apakah Pemanasan Global?

Pemanasan global merupakan satu fenomena peningkatan purata suhu atmosfera permukaan bumi secara global dan disebabkan oleh aktiviti manusia atau secara semulajadi.

Bagaimana Pemanasan Global Terjadi?

Apabila gas-gas seperti karbon monoksida, karbon dioksida, kloro flourokarbon (CFC), metana dan nitrus oksida menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarkan semula sinaran tersebut, suhu purata atmosfera bumi akan meningkat. Gas-gas ini juga menyerap tenaga haba yang dikeluarkan daripada sistem atmosfera bumi. Ini secara kolektif akan meningkatkan lagi suhu purata atmosfera bumi.

Aktiviti-aktivi manusia seperti penjanaan tenaga elektrik, peningkatan pengangkutan dan penggunaan CFC untuk tujuan pengawalan udara (airconditioning) dan sebagai ‘propellant’ dalam bekas aerosol, telah menyebabkan pengeluaran gas – gas tersebut meningkat. Sumber gas-gas seperti ini yang disebabkan oleh aktiviti manusia dinamakan gas-gas ‘anthropogenic’.

Antara gas-gas rumah hijau yang paling banyak menyerap radiasi tenaga haba daripada bumi adalah CFC. CFC pula bertindak dengan gas ozon daripada lapisan ozon dan meyebabkan penipisan lapisan ozon. Lapisan ozon bertindak melindungi kehidupan bumi daripada radiasi merbahaya seperti sinaran ultra lembayung (UVB). Penipisan lapisan ozon seterusnya akan menyebabkan radiasi sperti UVB sampai ke bumi dan akan menyebabkan peningkatan dalam kanser kulit dan penyakit mata.

Punca-Punca Berlakunya Pemanasan Global

PERINDUSTRIAN
Aktiviti perindustrian merupakan punca utama kepada fenomena pemanasan global. Pembakaran bahan api fosil seperti gas dan arang batu bagi menggerakkan mesin dan jentera telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas karbon dioksida. Semakin banyak gas karbon dioksida dihasilkan, semakin banyak haba yang dan terperangkap oleh lapisan gas lalu meningkatkan suhu udara secara global.

PENGANGKUTAN
Kenderaan bermotor kini merupakan pengangkutan utama bagi manusia memudahkan pergerakan mereka di bumi ini. Penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak sebagai bahan bakar utama bagi menggerakkan enjin kenderaan khususnya minyak tanpa plumbum telah banyak membebaskan gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida.

PEMBAKARAN HUTAN
Kegiatan pembakaran hutan secara besar-besaran dan berleluasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi menjalankan aktiviti pertanian, petempatan atau sebagainya telah menyumbang kepada pemanasan global. Pembakaran hutan telah menyebabkan imbangan kandungan oksigen dengan karbon dioksida tidak seimbang. Lebihan karbon dioksida terjadi dan berlakulah pemanasan global. Asap yang terbebas ke angkasa daripada pembakaran hutan juga mengandungi banyak gas karbon dioksida.

PERTANIAN DAN PENTERNAKAN
Aktiviti pertanian yang menggunakan racun-racun serangga dan baja kimia secara berlebihan. Penggunaan racun-racun serangga dan baja kimia yang secara berlebihan ini telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas metana. Kegiatan perternakan juga menyebabkan berlakunya pemanasan global. Hasil buangan najis haiwan ternakan seperti kambing dan lembu telah menghasilkan dan membebaskan banyak gas metana ke angkasa.



Kesan Pemanasan Global

Cuaca dan iklim bumi sangat dipengaruhi oleh perbezaan suhu dan kandungan wap air. Peningkatan purata suhu atmosfera bumi akan mengubah cuaca (climate change) di bumi.

Pemanasan global juga akan menyebabkan pencairan ais dan glasier di kawasan Artik dan Antartika. Ini akan menyebabkan peningkatan dalam aras laut. Kawasan-kawasan dan bandar-bandar tepi laut seperti New York dan Rotterdam sudah mula mengalami kenaikan aras laut. Negara-negara pulau (island states) seperti Vanuatu telah kehilangan beberapa pulau-pulau kecil akibat kenaikan aras laut.

Ada juga jangkaan bahawa perubahan cuaca akan mempengaruhi kekerapan dan ‘intensity’ ribut. Salah satu contoh adalah kekuatan dan kebinasaan yang disebabkan oleh ribut Katrina di Amerika Syarikat pada tahun 2005 dan banjir yang dialami di Malaysia di hujung tahun 2006 hingga awal tahun 2007. Aras laut pula dijangka meningkat kepada 15cm pada tahun 2050 dan 34cm pada tahun 2100.

Mengikut model matematik perubahan cuaca suhu purata global akan meningkat 1 hingga 2 darjah Celcius pada tahun 2030 disebabkan peningkatan dalam pelepasan gas-gas rumah hijau.

Adalah dijangka dengan perubahan cuaca, kawasan-kawasan di Utara Khatulistiwa akan menjadi lebih panas dan tempoh musim sejuk akan berkurang. Negara-negara di Selatan Khatulistiwa pula akan menjadi lebih panas dan suhu musim kemarau akan meningkat. Tempoh kemarau juga akan berpanjangan. Dengan itu adalah dijangka bahawa kawasan-kawasan seperti ini akan mengalami kekurangan bekalan air.

Perubahan cuaca bumi akan menyebabkan perubahan dalam kandungan kelembapan tanah dan seterusnya perubahan dalam jenis tumbuhan yang sesuai untuk ditanam. Ini akan mempengaruhi industri pertanian sesebuah negara.

Peningkatan purata suhu global, perubahan cuaca dan peningkatan aras laut akan menyebabkan perubahan dalam kehidupan manusia. Negara-negara yang kaya dijangka berupaya menangani masalah-masalah yang akan timbul. Negara-negara miskin dijangka akan menghadapi masalah yang lebih ketara.






0 yang |CARE!|:

Post a Comment

Show your care!