Peranan Mahasiswa dalam Menangani Isu Alam Sekitar
by
Anyone Of Us
(Unit Media CARE IPGM Kampus Tuanku Bainun)
by
Anyone Of Us
(Unit Media CARE IPGM Kampus Tuanku Bainun)
Isu alam sekitar merupakan isu yang semakin mendapat tempat dalam media massa sama ada di dada-dada akhbar, majalah, radio, internet mahupun televisyen. Alam sekitar adalah segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya [1]. Kita juga sebagai manusia tidak terkecuali. Lebih-lebih lagi, kita mempunyai peranan yang penting dalam isu tersebut sebagai mahasiswa, insan terpilih yang berpeluang mendapat pendidikan tinggi.
Peranan pertama yang boleh kita lakukan sebagai harapan masyarakat ialah menyokong badan-badan atau individu yang memperjuangkan isu alam sekitar. Sokongan di sini bukan sahaja menggalakkan mereka supaya meneruskan perjuangan mereka, malah kita sendiri menyertai mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita juga boleh turut menjadi ejen penyedar masyarakat. Contohnya dengan menyebarkan mesej-mesej dan risalah mengenai isu ini kepada kawan-kawan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), mel elektronik (e-mail), blog, rangkaian sosial seperti Friendster, Facebook, Yahoo! Messenger, Twitter dan lain-lain.
Seterusnya, kita mestilah mulakan dari rumah kita sendiri. Melalui cara ini orang ramai lebih mudah untuk menerima ajakan kita untuk melestarikan alam sekitar. Namun, jika kita sendiri melakukan pembakaran terbuka, membuang sampah di halaman rumah, tiada individu yang dapat menerimanya. Menanam lebih banyak pokok di sekitar rumah, mengasingkan sampah untuk di kitar semula dan menggunakan beg yang boleh digunakan semula ketika membeli dikedai adalah antara tindakan yang boleh kita lakukan.
Cara pemikiran kita mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam isu ini, kita sebagai pewaris kepimpinan negara hendaklah mengubah perspektif kita. Tugas penjagaan alam sekitar bukan tugas mereka yang bekerja di jabatan alam sekitar dan perhutanan juga ahli geologi ataupun ahli ekologi sahaja. Sebagai mahasiswa yang belajar dalam pelbagai bidang, kita semua mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menjaga dan memulihara alam sekitar. Jika kita dalam bidang kejuruteraan, kita harus memikirkan binaan yang bagaimana supaya tidak memberi kesan negatif kepada alam. Jika kita dalam bidang pendidikan, apa yang kita boleh lakukan untuk melahirkan generasi yang prihatin terhadap alam.
Justeru, isu alam sekitar adalah tanggungjawab setiap individu yang hidup di muka bumi. Andainya alam sekitar terus dinodai, apa yang akan menjadi tinggalan untuk generasi yang akan datang? Jika tidak kita yang mulakan, siapa lagi?
Anyone Of Us
Jam 1812
Ahad
6 Disember 2009
19 Zulhijjah 1430
Rujukan :
1) [1] http://ms.wikipedia.org/wiki/Alam_sekitar
2) http://zulzaidi.wordpress.com/2008/06/06/masyarakat-kurang-prihatin-terhadp-isu-alam-sekitar/
3) http://odysseyrovers.blogspot.com/2009/01/peranan-mahasiswa.html
4) http://mstar.com.my/variasi/suara_alternatif/cerita.asp?file=/2009/9/18/mstar_suara_alternatif/20090918164913&sec=mstar_suara_alternatif
5) http://www.petitiononline.com/ABUP2008/petition.html
6) http://lutfihafifi.com/v1/perjalanan-ini/selamatkan-dunia/
0 yang |CARE!|:
Post a Comment
Show your care!