WE CARE!

Saturday, May 22, 2010

Apa itu pemuliharaan?

Pemuliharaan sumber alam bermaksud usaha-usaha melestarikan bekalan sumber alam yang telah diteroka menerusi usaha-usaha memelihara dan membaik pulih sumber setelah digunakan, terutama sumber yang boleh diperbaharui seperti air dan hutan supaya sumber tersebut tidak pupus atau tidak boleh digunakan lagi. Miaslnya, program penanaman semula anak pokok bakau, penghutanan semula dan rawatan semula air.


dipetik dari http://notapismp.blogspot.com/

Wajib asingkan sampah menjelang 2013

Wajib asingkan sampah menjelang 2013
May 20, 10 6:13pm


Setiap isi rumah di negara ini akan diwajibkan mengasingkan sampah mengikut sisa organik dan bahan kitar semula menjelang 2013 yang bertujuan mengawal limpahan sisa pepejal yang semakin meningkat setiap tahun.

bagan pinang kong chor har 051009.jpgMenteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, rancangan untuk mewajibkan pengasingan sampah di rumah itu kelak diharap dapat memudahkan proses kitar semula plastik, kertas dan kaca di samping menjadikan sisa organik sebagai bahan kompos.

“Kita mahu mengamalkan konsep 3R iaitu kurangkan, kitar dan guna semula (reduce, reuse, recycle) di samping menjadikan sisa organik sebagai bahan kompos untuk mengurangkan pergantungan kepada tapak pelupusan sampah.

Menurut Kong, setiap tahun pihak berkuasa tempatan (PBT) membelanjakan kira-kira RM1 bilion khusus untuk menguruskan sisa buangan pepejal dalam negara.

urban household electricity poll 300506 garbagesBeliau berkata, secara purata mereka menggunakan antara 30 dan 80 peratus daripada perolehan khusus untuk menguruskan sisa buangan itu.

"Secara global, PBT membelanjakan antara 20 dan 50 peratus daripada perolehan mereka untuk menguruskan sisa buangan," katanya dalam ucapannya pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa Buangan anjuran Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH) di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Buangan Pepejal, Datuk Dr Nadzri Yahaya.

Beliau berkata, pada tahun 2002, secara purata rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan sisa buangan setiap hari dan angka itu bertambah kepada 19,000 tan sehari pada 2005.

Katanya, angka itu dijangka meningkat kepada 30,000 tan sehari menjelang tahun 2020.
Friday, April 9, 2010

JOM SELAMATKAN BUMI DENGAN JIMAT TENAGA!


Macam-macam: Tutup pasar raya untuk jimat elektrik 2010/04/09

MANILA: Kerajaan Filipina yang berdepan masalah kekurangan tenaga elektrik berikutan musim kemarau akan meminta pusat beli-belah dan kilang menutup operasi selama beberapa hari bagi memastikan bekalan tidak terganggu pada pilihan raya umum 10 Mei depan. Setiausaha Tenaga, Jose Ibazeta, berkata mesin pengimbas akan digunakan untuk kali pertama bagi mengira undi secara elektronik, tetapi sebilangan pemerhati melahirkan kebimbangan ia mungkin gagal dilakukan jika bekalan elektrik terputus. – AP







--------------------



Tip di bawah mampu membantu anda menjadi tegas agar tidak terus membazir tenaga.
  1. Apabila memasak terutama ketika merebus, tutuplah periuk agar makanan cepat masak. Dengan cara ini anda dapat menjimatkan penggunaan gas dan elektrik.
  2. Tungku dapur yang tinggi juga akan menyebabkan pembaziran berlaku. Makanan lambat masak dan sudah pasti penggunaan gas berganda dari keperluan sebenar. jangan pandang remeh kerana ia melibatkan wang.
  3. Jika hendak memasak air, jangan isi terlalu penuh. Sedikit air, sedikit tenaga yang digunakan. Dan sedikit wang yang mengalir.
  4. Matikan suis atau dapur dengan segera setelah makanan atau air masak. Kelalaian anda akan menyebabkan kerugian di akhir bulan.
  5. Apabila menggunakan ketuhar, masak lebih daripada satu jenis makanan.
  6. Isilah peti sejuk anda dengan makanan kerana lebih banyak tenaga yang terbazir apabila peti sejuk tidak diisi. Sekurang-kurangnya buatlah ais krim atau air batu. Ingat anda perlu sentiasa memandang berat setiap pembaziran yang bakal berlaku.
  7. Jangan tempatkan dapur atau periuk elektrik bersebelahan dengan peti sejuk. Haba panas akan merosakkan sistem penyejukan. Jumlah tenaga yang digunakan akan terus meningkat dan makanan anda mungkin cepat busuk.
  8. Pastikan makanan yang telah dimaska benar-benar sejuk jika hendak disimpan dalam peti sejuk. Jika tidak tenaga elektrik yang digunakan meningkat secara mendadak untuk menyejukkan makanan tersebut. Jika setiap hari keadaan begini dibiarkan berlaku, naik lagilah bil elektrik anda.
  9. Nyah beku peti sejuk selalu dan jangan buka jika tidak perlu. Jangan biarkan anak-anak membuka peti sejuk sesuka hati tanpa sebab.
  10. Jika membasuh sayuran, pinggan mangkuk dan ketika mandi, elakkan daripada membuak air terlalu kuat. Apabila air dibuka dengan kuat, meter akan bergerak laju. Jika setiap hari lebih daripada sepuluh kali anda berbuat begitu, jangan terkejut apabila bil melambung tinggi. Jika hendak mandi pastikan air kolam sentiasa penuh.
  11. Apabila menggunakan mesin basuh, pastikan muatannya penuh. Jika tidak, anda bukan sahaja membazir air tetapi juga elektrik.
  12. Biasakan memadam lampu setiap kali tidak diperlukan. Jangan ‘berpesta lampu’ satu rumah. Pasanglah lampu tidur dengan watt yang rendah.
Semua perkara di atas mampu mengurangkan bila and sehingga 15 peratus penjimatan elektrik sebulan. Jadi mulakan langkah penjimatan anda sekarang. Didik ahli keluarga melakukannya.




JIMAT TENAGA. ANDA BOLEH MELAKUKANNYA!
Monday, April 5, 2010

LOGO TERBARU CARE IPG KTB

Wednesday, March 31, 2010

PROMOSI T SHIRT CARE! HARGA RUNTUH :)




HARGA RUNTUH sehingga 4 April sahaja!

TARIKH TUTUP TEMPAHAN : 3 APRIL 2010



:))

HUBUNGI SAUDARI ATTIQ : 0195150059

DAPATKAN SEGERA




Tuesday, March 2, 2010

HEBAHAN PROGRAM : TAYANGAN VIDEO DAN DISKUSI ILMU

Friday, February 19, 2010

TAK PA mengundang BINASA


Siapa kata "Tak Pa" itu tak apa?
Kerana sifat "Tak Pa" kita, bumi semakin merintih menderita.
Apa kalian mendengar?
Mustahil.
Kalian hanya mendengar apa yang kalian mahu dengar.
Bila yang membahagiakan kalian, diraihnya seluas lautan.
Namun bila yang menyesakkan dada, kalian tutup mata begitu sahaja?
Walhal yang akan menerima padah adalah anak cucu kalian juga!
Manusia memang begitu.

Untuk merubah sesuatu, bermula dari dalam diri.
Masa untuk berubah itu bergantung pada kalian.
Untuk apa tunggu esok hari?
Apa jika esok tidak muncul?
Nah rasai deritanya bumi!

Surah Ar Ra'd ayat 11 untuk peringatan bersama.
Thursday, January 14, 2010

BAHAYA POLISTERIN DAN KESAN PENGGUNAANNYA

BAHAYA POLISTERIN DAN KESAN PENGGUNAANNYA

Oleh : NURHAFIZAH BINTI HUSIN

            Polisterin? Pada sesiapa yang peka dengan isu alam sekitar  pasti sudah dapat terbayang keburukannya apabila perkataan polisterin disebut. Pada era langit yang terbuka ini, penggunaan polisterin semakin berleluasa bukan sahaja di negara Malaysia malah di seantero dunia.

             Jika kita lihat di dada-dada akhbar,sering kali permasalahan alam sekitar menjadi tajuk utama.Penggunaan  polisterin adalah salah  satu  penyebab berlakunya masalah  alam sekitar di negara ini dan ini memerlukan perhatian yang tinggi untuk mengurangkan penggunaan polisterin dan seterusnya mengharamkan terus penggunaannya.




            Kenapa kita mesti mengharamkan polisterin?Bahan pembungkus polisterin yang biasa kita guna mengandungi bahan karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan. Menurut kajian,Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa(IARC) ,Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mengelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser kepada manusia.Bahan-bahan kimia daripada bekas itu akan menyerap ke dalam makanan  dan kemudian ke dalam tubuh manusia.

            Untuk pengetahuan umum juga, stirena adalah suatu mutagen yang boleh mengakibatkan perubahan genetic yang berpotensi merosakkan sistem pembiakan. Mutagen ini amat berbahaya terhadap alam sekitar malah manusia juga. Pendedahan kepada stirena dapat merendahkan bilangan  sel darah merah dan boleh menyebabkan seseorang perempuan itu mengalami gangguan haid.



           Polisterin mengandungi tirena dan benzena yang boleh menjejaskan alam sekitar yang mana bahan-bahan berbahaya ini 500 tahun untuk dimusnahkan secara semulajadi.Tambahan pula,hasil kajian yang dilakukan oleh Institut for Energy and Environmental Research(IEER) pada tahun 1992 menunjukkan polisterin yang diperbuat daripada HCFC-22 berpotensi mengancam persekitaran 3 hingga 5 kali lebih tinggi berbanding bahan-bahan buangan yang lain.Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat yang ke-5 paling bahaya.

          Jadi,tiada sebab lagi yang boleh kita bantah daripada mengharamkan penggunaan polisterin.Kita seharusnya tidak memandang enteng tentang bahaya yang akan timbul ekoran daripada penggunaan polisterin. Alternatif yang boleh kita guna untuk menggantikan penggunaan polisterin ini antaranya adalah membawa bekas makanan sendiri yang dijamin tidak memudaratkan, ‘order’ makanan yang tidak menggunakan polisterin dan bawa makanan sendiri dari rumah.

          Usaha pengharaman penggunaan polisterin haruslah menjadi perhatian semua pihak. Sukar untuk mengharapkan masyarakat melakukan perubahan drastik jika tiada satu usaha agresif tidak dipraktikkan dalam menghapuskan penggunaan polisterin. Oleh sebab itu, pihak berkaitan seperti Kementerian  Sumber Asli dan Alam Sekitar haruslah bekerja keras dalam merangka jalan penyelesaian dalam mengurangkan bekas makanan dan cawan polisterin terutamanya di majlis-majlis.Alam sekitar adalah anugerah dari Tuhan, jadi ,menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk menjaganya bukan memusnahkannya.


RUJUKAN:
1.http://www.mail-archive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg05582.html.
2. http://kdoclass0809.blogspot.com/2009/03/keburukan-penggunaan-polisterin.html
Kepupusan Flora dan Fauna

Kepupusan flora dan fauna berlaku akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal. Aktiviti manusia yang boleh menyebabkan kepupusan flora dan fauna ini adalah seperti pembuangan sisa kilang yang tidak dirawat, tumpahan minyak dari kapal laut, penggunaan racun serangga, kegiatan pembalakan haram, pembuangan sampah sarap dan banyak lagi.

Sebagai contoh, minyak yang tertumpah ke laut akan menghalang kemasukan udara ke dalam air laut. Justeru, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang hidup dalam laut tidak dapat bernafas dan akan mati. Sungai yang dipenuhi dengan sampah sarap akan menghalang sinaran matahari masuk ke dalamnya. Hal ini akan menjejaskan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan air.

Selain itu, racun serangga yang disembur ke atas tanaman akhirnya akan meresap masuk dan berkumpul dalam tanah apabila berlakunya hujan atau ketika disiram. Haiwan yang hidup di bawah tanah akan mati akibat pengumpulan racun ini.

Kekurangan Bekalan Air

Pertambahan penduduk di sesebuah kawasan akan menyebabkan permintaan terhadap sumber air tawar meningkat, seterusnya menyebabkan berlakunya krisis kekurangan sumber air tawar. UNESCO menjangkakan bahawa amaun air tawar per seorang akan berkurangan daripada 33 000 m³ (1.2 million kaki persegi) setahun pada tahun 1850 kepada 8500m³ (300 000 kaki persegi) pada masa kini.

Pada tahun 2025, sebanyak 48 buah Negara dijangkakan akan mengalami kekurangan sumber air tawar dengan saiz penduduk tiga billion orang. Kini negara China yang mempunyai bilangan penduduk terbesar di dunia mengalami kekurangan sumber air tawar.

Jumlah sumber air tawar yang sedia ada hanya mampu menampung 650 juta penduduk (bilangan penduduk pada masa kini ialah 1.2 billion.)
Thursday, December 24, 2009

Kita perlu berubah!

Semua orang perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar. Hal ini kerana, alam sekitar adalah amanah kita dan kita sebagai khalifah yang telah dipilih untuk mentadbir bumi ini perlu sentiasa peka dengan tanggungjawab yang dipikul. Senario sekarang, masyarakat meletakkan tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar ke atas bahu pihak lain seperti majlis perbandaran, ejen-ejen pembersihan, kerajaan, NGO dan lain-lain. Perkara seumpama ini perlu diperbetulkan dan mind set mereka perlu diubah supaya lebih terbuka untuk menerima hakikat bahawa alam sekitar ini perlu dipelihara dan dipulihara secara bersama.

Alam ini mempunyai ikatan saling bergantung yang kuat antara satu dengan yang lain. Sebagai contoh, manusia sukar untuk bernafas jika tumbuh-tumbuhan tidak menghasilkan gas oksigen dan pokok akan mati jika tidak mendapat bekalan karbon dioksida untuk bernafas yang dibebaskan oleh manusia dan haiwan. Melihat kepada kebergantungan ini, maka kita perlulah berusaha mengikis perasaan pentingkan diri sendiri dan belajar untuk menerima alam sekitar sebagai ahli keluarga kita dalam ekosistem bumi ini.

Tidak rugi untuk kita menjaga alam sekitar ini. Hatta, tidak membuang sampah merata-rata pun sudah mampu menyelamatkan alam sekitar kita. Mungkin penyataan ini nampak agak lucu, tetapi cuba bayangkan jika setiap seorang yang berada di atas muka bumi ini membuang sampah merata-rata, maka sudah berapa juta sampah yang akan terhasil? Renung dan fikirkan.



Jika kita tidak menjaga alam sekitar, kita jugalah yang akan rugi. Hutan-hutan yang dimusnahkan merugikan bekalan oksigen kita. Udara-udara yang dicemari merugikan wang kita apabila terpaksa melaburkan banyak duit membeli ubat batuk, asma, radang paru-paru dan lain-lain. Begitulah seterusnya.

Bila kita akan berubah? Jika anda berniat untuk berubah, berubahlah disaat ini. Jangan tunggu untuk berubah esok atau lusa. Ingatlah, jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah. Bila nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh dibuat.



Bumi sudah rosak dan kerosakan ini akan berlarutan jika kita masih lagi bersikap tidak mahu mengambil tahu. Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah memulihara alam ini supaya kita dapat hidup dengan aman dan harmoni. Satu perkara yang paling penting untuk semua ialah, alam ini amanah Yang Maha Esa untuk kita. Jagalah alam ini seperti kita menjaga apa yang paling kita sayangi.





Lokasi lawatan ialah di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Tujuan lawatan adalah untuk mendapatkan maklumat tentang kaedah vermihome (rumah cacing). Melalui kaedah vermihome, sisa-sisa organik seperti kulit buah-buahan, daun-daun kering dan sisa dapur dapat diurai menjadi baja kompos yang berkualiti dan baik untuk pertanian. Terdapat dua sistem rumah cacing di pejabat CAP iaitu Sistem Empat Unit dan Sistem Domestik.


^ SISTEM EMPAT UNIT
Sistem Empat Unit dibangunkan khusus bagi menguraikan sisa-sisa organik dalam skala besar. Ia sesuai digunakan secara komersial untuk para petani. Sistem ini memerlukan 40 hingga ke 60 hari untuk menguraikan sisa-sisa organik menjadi bahan kompos.

^ Sisa dapur yang boleh digunakan.

^ SISTEM DOMESTIK

Sistem Domestik pula dicipta oleh CAP untuk kegunaan dirumah. Skalanya lebih kecil dan ringkas untuk dikendalikan. Sesuai untuk golongan surirumah menghasilkan bahan kompos mereka sendiri untuk kegunaan pokok-pokok hiasan atau pokok-pokok buah-buahan/ sayur-sayuran di rumah.

Sistem Vermihome amat mudah untuk diamalkan! Ingatlah, setiap sisa makanan yang kita anggap tiada nilai sebenarnya dapat ditukarkan kepada sesuatu yang memberi manfaat - BAJA KOMPOS!


Penghargaan: Terima Kasih kepada Puan Saras (CAP Officer) yang telah banyak membantu kami mendapatkan maklumat tentang Vermihome.
^ Pokok Herba di Spice Garden

^ Teratai di tasik buatan

Taman "Fern Walk" di Spice Garden


^ Panorama indah dan nyaman.

^ Taman Herba






Tarikh: 21 Disember 2009

Yang Terlibat:
Atiq, Iechan, Norin, Syam + Kak Fatin (SAM Edu. Officer)

Tujuan:
Mencari maklumat dan input untuk buku manual aktiviti hijau.



Klik Sini untuk maklumat tentang TROPICAL SPICE GARDEN
Saturday, December 19, 2009

BAKAU


PENGENALAN
Hutan paya bakau juga dikenali dengan nama hutan paya laut. Spesis pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) dan Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) mendominasi ekosistem ini. Hutan paya laut mewakili pertengahan fasa antara daratan dan lautan. Dalam persekitaran unik ini, ia boleh mengalami keadaan basah dan kering beberapa kali sehari bergantung kepada pasang dan surut air laut. Apabila berada dalam keadaan basah, campuran air ini akan menjadi campuran air masin dari laut dan air tawar dari sungai.



Hutan paya bakau merupakan ekosistem paling produktif dan unik kerana ia berkebolehan untuk membesar dan beradaptasi di bawah kondisi kemasinan yang tinggi. Ia melibatkan keadaan anaerobik (tidak beroksigen) dan juga persekitaran berasid.

ISU dan MASALAH

Impak Pembangunan Ke Atas Hutan Paya Bakau.

Peningkatan aktiviti manusia secara tidak langsung memberi kesan yang negatif dan tekanan terhadap ekosistem paya bakau. Akibat dari aktiviti ini, komuniti bakau yang wujud di sepanjang tebing estuari dan garis pantai yang mengalami gangguan dan termusnah yang seterusnya menyebabkan kemusnahan ekologi iaitu nic kepada organisma marin, hidupan liar dan burung.

Antara aktiviti penerokaan kawasan hutan paya bakau adalah untuk pembalakan, pertanian, penukaran kepada kolam akuakultur (penternakan udang), perbandaran, penempatan dan perindustrian.

KESAN

Aktiviti Manusia: Penternakan Udang dan Kesan Kepada Hutan Paya Bakau



Kemusnahan Habitat
Hidupan marin berkurangan kerana tiada tempat membiak dan berlindung.

Kehilangan Sumber-sumber Asli
Masyarakat pantai kehilangan sumber asli seperti makanan, kayu api serta ubat-ubatan.

Air Bawah Tanah Menjadi Masin
Air masin dari kolam penternakan udang akan meresap masuk ke tanah pertanian berhampiran dan memusnahkan tanaman.

Kesuburan Tanah Terjejas
Penggunaan bahan kimia yang banyak dalam kolam udang juga akan menjejaskan kesuburan tanah.

Pendapatan nelayan Terancam
Pengurangan sumber marin meyebabkan pendapatan nelayan berskala kecil terjejas.

Pencemaran
Penggunaan palet makanan dan antibiotik yang tidak dihadam oleh udang mengakibatkan pencemaran apabila air dilepaskan ke persekitaran.

Wabak Penyakit
Udang yang menghadapi penyakit akan menyebabkan penyakit berjangkit apabila airnya dilepaskan keluar.
Friday, December 18, 2009

PEMBANDARAN



Perubahan yang dialami oleh sesebuah kawasan dalam proses pembandaran

-Berlaku pertambahan penduduk.
-Kawasan bandar menjadi semakin luas.
-Tempat tinggal yang bersifat tradisional berubah menjadi moden.
-Pekerjaan penduduk berubah daripada pertanian kepada perdagangan atau perindustrian.
-Corak kehidupan penduduk berubah daripada cara tradisional kepada cara moden.

Faktor-faktor yang menggalakkan berlakunya pembandaran

-Peningkatan peluang-peluang pekerjaan.
-Kemajuan pendidikan
-Pertumbuhan semulajadi penduduk
-Imigrasi dari luar bandar
-Faktor politik

Proses pembandaran yang tidak seimbang.

Proses pembandaran yang tidak sempurna akan memberikan kesan yang negatif kepada alam sekitar. Sebagai contoh, kadar pencemaran alam sekitar di kawasan bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar.

Pembebasan asap dikawasan industri, penggondolan bukit untuk membina kawasan perumahan, pertambahan bilangan kenderaan di jalanraya dan kekurangan kawasan pelupusan sampah. Kesemua ini merupakan sebahagian kecil daripada penyumbang kepada pencemaran alam sekitar di kawasan-kawasan yang sedang mengalami proses pembandaran.

Masalah pencemaran kesan dari proses pembandaranyang tidak sempurna ini akan terus menjadi ancaman kepada kualiti hidup kita sekiranya kita tidak mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kesimpulannya, proses pembandaran yang tidak sempurna akan mewujudkan pelbagai masalah terutamanya terhadap alam sekitar kita dan akhirnya menyebabkan berlakunya pemanasan global!

Apakah Pemanasan Global?

Pemanasan global merupakan satu fenomena peningkatan purata suhu atmosfera permukaan bumi secara global dan disebabkan oleh aktiviti manusia atau secara semulajadi.

Bagaimana Pemanasan Global Terjadi?

Apabila gas-gas seperti karbon monoksida, karbon dioksida, kloro flourokarbon (CFC), metana dan nitrus oksida menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarkan semula sinaran tersebut, suhu purata atmosfera bumi akan meningkat. Gas-gas ini juga menyerap tenaga haba yang dikeluarkan daripada sistem atmosfera bumi. Ini secara kolektif akan meningkatkan lagi suhu purata atmosfera bumi.

Aktiviti-aktivi manusia seperti penjanaan tenaga elektrik, peningkatan pengangkutan dan penggunaan CFC untuk tujuan pengawalan udara (airconditioning) dan sebagai ‘propellant’ dalam bekas aerosol, telah menyebabkan pengeluaran gas – gas tersebut meningkat. Sumber gas-gas seperti ini yang disebabkan oleh aktiviti manusia dinamakan gas-gas ‘anthropogenic’.

Antara gas-gas rumah hijau yang paling banyak menyerap radiasi tenaga haba daripada bumi adalah CFC. CFC pula bertindak dengan gas ozon daripada lapisan ozon dan meyebabkan penipisan lapisan ozon. Lapisan ozon bertindak melindungi kehidupan bumi daripada radiasi merbahaya seperti sinaran ultra lembayung (UVB). Penipisan lapisan ozon seterusnya akan menyebabkan radiasi sperti UVB sampai ke bumi dan akan menyebabkan peningkatan dalam kanser kulit dan penyakit mata.

Punca-Punca Berlakunya Pemanasan Global

PERINDUSTRIAN
Aktiviti perindustrian merupakan punca utama kepada fenomena pemanasan global. Pembakaran bahan api fosil seperti gas dan arang batu bagi menggerakkan mesin dan jentera telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas karbon dioksida. Semakin banyak gas karbon dioksida dihasilkan, semakin banyak haba yang dan terperangkap oleh lapisan gas lalu meningkatkan suhu udara secara global.

PENGANGKUTAN
Kenderaan bermotor kini merupakan pengangkutan utama bagi manusia memudahkan pergerakan mereka di bumi ini. Penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak sebagai bahan bakar utama bagi menggerakkan enjin kenderaan khususnya minyak tanpa plumbum telah banyak membebaskan gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida.

PEMBAKARAN HUTAN
Kegiatan pembakaran hutan secara besar-besaran dan berleluasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi menjalankan aktiviti pertanian, petempatan atau sebagainya telah menyumbang kepada pemanasan global. Pembakaran hutan telah menyebabkan imbangan kandungan oksigen dengan karbon dioksida tidak seimbang. Lebihan karbon dioksida terjadi dan berlakulah pemanasan global. Asap yang terbebas ke angkasa daripada pembakaran hutan juga mengandungi banyak gas karbon dioksida.

PERTANIAN DAN PENTERNAKAN
Aktiviti pertanian yang menggunakan racun-racun serangga dan baja kimia secara berlebihan. Penggunaan racun-racun serangga dan baja kimia yang secara berlebihan ini telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas metana. Kegiatan perternakan juga menyebabkan berlakunya pemanasan global. Hasil buangan najis haiwan ternakan seperti kambing dan lembu telah menghasilkan dan membebaskan banyak gas metana ke angkasa.



Kesan Pemanasan Global

Cuaca dan iklim bumi sangat dipengaruhi oleh perbezaan suhu dan kandungan wap air. Peningkatan purata suhu atmosfera bumi akan mengubah cuaca (climate change) di bumi.

Pemanasan global juga akan menyebabkan pencairan ais dan glasier di kawasan Artik dan Antartika. Ini akan menyebabkan peningkatan dalam aras laut. Kawasan-kawasan dan bandar-bandar tepi laut seperti New York dan Rotterdam sudah mula mengalami kenaikan aras laut. Negara-negara pulau (island states) seperti Vanuatu telah kehilangan beberapa pulau-pulau kecil akibat kenaikan aras laut.

Ada juga jangkaan bahawa perubahan cuaca akan mempengaruhi kekerapan dan ‘intensity’ ribut. Salah satu contoh adalah kekuatan dan kebinasaan yang disebabkan oleh ribut Katrina di Amerika Syarikat pada tahun 2005 dan banjir yang dialami di Malaysia di hujung tahun 2006 hingga awal tahun 2007. Aras laut pula dijangka meningkat kepada 15cm pada tahun 2050 dan 34cm pada tahun 2100.

Mengikut model matematik perubahan cuaca suhu purata global akan meningkat 1 hingga 2 darjah Celcius pada tahun 2030 disebabkan peningkatan dalam pelepasan gas-gas rumah hijau.

Adalah dijangka dengan perubahan cuaca, kawasan-kawasan di Utara Khatulistiwa akan menjadi lebih panas dan tempoh musim sejuk akan berkurang. Negara-negara di Selatan Khatulistiwa pula akan menjadi lebih panas dan suhu musim kemarau akan meningkat. Tempoh kemarau juga akan berpanjangan. Dengan itu adalah dijangka bahawa kawasan-kawasan seperti ini akan mengalami kekurangan bekalan air.

Perubahan cuaca bumi akan menyebabkan perubahan dalam kandungan kelembapan tanah dan seterusnya perubahan dalam jenis tumbuhan yang sesuai untuk ditanam. Ini akan mempengaruhi industri pertanian sesebuah negara.

Peningkatan purata suhu global, perubahan cuaca dan peningkatan aras laut akan menyebabkan perubahan dalam kehidupan manusia. Negara-negara yang kaya dijangka berupaya menangani masalah-masalah yang akan timbul. Negara-negara miskin dijangka akan menghadapi masalah yang lebih ketara.






KECEKAPAN TENAGA

Definisi Tenaga

Tenaga boleh mengubah sesuatu. Kita menggunakannya untuk melakukan pelbagai perkara. Tenaga membolehkan sebuah kereta bergerak sepanjang jalan dan kapal belayar di atas air. Tenaga memainkan lagu-lagu kegemaran kita di radio dan lampu rumah kita. Tenaga juga diperlukan bagi tubuh kita untuk tumbuh dan membolehkan minda kita untuk berfikir. Saintis mendefinisikan tenaga sebagai kemampuan untuk melakukan kerja. Tamadun moden wujud kerana kita telah belajar bagaimana mengubah tenaga daripada satu bentuk kepada bentuk lain dan menggunakannya untuk melakukan pekerjaan untuk kita dan untuk hidup lebih selesa.

Sumber-sumber tenaga

Tenaga yang tidak boleh diperbaharui:

Merangkumi bijih uranium dan bahan api fossil – arang batu, gas asli, dan petroleum


Tenaga yang boleh diperbaharui:

Tenaga yang boleh diperbaharui adalah seperti tenaga biojisim, tenaga hidro, geoterma, angin dan solar. Sebahagian dari tenaga yang boleh diperbaharui ini digunakan untuk menjana tenaga elektrik.

Definisi Kecekapan Tenaga

Kecekapan tenaga bermaksud menggunakan tenaga elektrik dengan bijak dalam menjayakan tugas yang sama, sama ada di rumah atau di tempat kerja. Jika kita menggunakan tenaga dengan cekap, maka kita dapat mengurangkan kos dan sememangnya ini amat menjimatkan!

Masalah Pembaziran Tenaga

"Kita Kekurangan SUMBER!" . Sumber tenaga terutamanya sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti tenaga fosil—gas asli, petroleum dan arang batu semakin berkurangan. Permintaan dunia bagi tenaga terus meningkat pada kadar antara dua dan tiga peratus setiap tahun mewakili kira-kira 530 EJ pada waktu ini tetapi wujud kebimbangan terhadap bekalan bahan api fosil yang boleh mencetuskan satu era harga minyak yang lebih tinggi dengan kesan sampingan daripadanya yang menjejaskan pembangunan lestari.

Kesan pembaziran tenaga.

a. Kehabisan sumber tenaga – Petroleum.

b. Pembaziran kos.

c. Pencemaran haba.


Apa yang perlu kita lakukan? (Langkah-langkah amalan mesra alam di rumah)

Amalan mesra alam

Jimat elektrik

Guna pengangkutan awam

Gunakan kuali yang sesuai saiznya dan tutuplah periuk ketika memasak untuk menjimatkan tenaga. Anda boleh menjimatkan tenaga sehingga 70% jika menggunakan periuk tekanan dan pengukus.

Gunakan mesin basuh pakaian yang menjimatkan tenaga. Bacalah label kecekapan penjimatan tenaga mesin basuh pakaian sebelum membelinya. Penggunaan elektik dapat dikurangkan sehingga 50% jika anda berjaya memilih mesin basuh yang tinggi penjimatan tenaganya.


Pilihlah peralatan elektrik yang jimat tenaga. Selepas menggunakan peralatan elektrik, padam dan buka plaknya.

Jimatkan tenaga dan lindungi penglihatan daripada rosak dengan mengurangkan kadar keamatan cahaya skrin televisyen. Apabila kadar keamatan cahaya skrin terlalu tinggi, lebih banyak tenaga diperlukan dan jangka hayat televisyen juga akan berkurang.


Gunalah mentol berpendaflour padat (CFL) untuk menggantikan mentol bercahaya pijar biasa. CFL dapat menjimatkan tenaga sehingga 60% berbanding mentol bercahaya pijar.


Letakkan peti sejuk anda jauh daripada sumber haba untuk mengelakkan penggunaan tenaga yang banyak.


Pilih pemanas air berkuasa solar untuk menjimatkan tenaga elektrik dan gas.


Gunakan langsir atau bidai berwarna putih untuk memantulkan haba dan mengurangkan pemanasan. Penggunaan pendingin hawa akan menyumbang kepada pemanasan global.


Jemur pakaian di bawah cahaya matahari daripada menggunakan mesin pengering. Ia dapat mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh mesin pembasuh untuk mengeringkan pakaian dan menjimatkan sebanayk 700 paun karbon dioksida dalam tempoh 6 bulan.


Gunakan bateri yang boleh dicaj semula dan tanpa kadmium untuk lampu suluh, alat permainan dan peralatan rumah lain.
Monday, December 7, 2009

Peranan Mahasiswa dalam Menangani Isu Alam Sekitar

Peranan Mahasiswa dalam Menangani Isu Alam Sekitar
by

Anyone Of Us
(Unit Media CARE IPGM Kampus Tuanku Bainun)



   Isu alam sekitar merupakan isu yang semakin mendapat tempat dalam media massa sama ada di dada-dada akhbar, majalah, radio, internet mahupun televisyen. Alam sekitar adalah segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya [1]. Kita juga sebagai manusia tidak terkecuali. Lebih-lebih lagi, kita mempunyai peranan yang penting dalam isu tersebut sebagai mahasiswa, insan terpilih yang berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

    Peranan pertama yang boleh kita lakukan sebagai harapan masyarakat ialah menyokong badan-badan atau individu yang memperjuangkan isu alam sekitar. Sokongan di sini bukan sahaja menggalakkan mereka supaya meneruskan perjuangan mereka, malah kita sendiri menyertai mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita juga boleh turut menjadi ejen penyedar masyarakat. Contohnya dengan menyebarkan mesej-mesej dan risalah mengenai isu ini kepada kawan-kawan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), mel elektronik (e-mail), blog, rangkaian sosial seperti Friendster, Facebook, Yahoo! Messenger, Twitter dan lain-lain.

    Seterusnya, kita mestilah mulakan dari rumah kita sendiri. Melalui cara ini orang ramai lebih mudah untuk menerima ajakan kita untuk melestarikan alam sekitar. Namun, jika kita sendiri melakukan pembakaran terbuka, membuang sampah di halaman rumah, tiada individu yang dapat menerimanya. Menanam lebih banyak pokok di sekitar rumah, mengasingkan sampah untuk di kitar semula dan menggunakan beg yang boleh digunakan semula ketika membeli dikedai adalah antara tindakan yang boleh kita lakukan.

    Cara pemikiran kita mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam isu ini, kita sebagai pewaris kepimpinan negara hendaklah mengubah perspektif kita. Tugas penjagaan alam sekitar bukan tugas mereka yang bekerja di jabatan alam sekitar dan perhutanan juga ahli geologi ataupun ahli ekologi sahaja. Sebagai mahasiswa yang belajar dalam pelbagai bidang, kita semua mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menjaga dan memulihara alam sekitar. Jika kita dalam bidang kejuruteraan, kita harus memikirkan binaan yang bagaimana supaya tidak memberi kesan negatif kepada alam. Jika kita dalam bidang pendidikan, apa yang kita boleh lakukan untuk melahirkan generasi yang prihatin terhadap alam.

    Justeru, isu alam sekitar adalah tanggungjawab setiap individu yang hidup di muka bumi. Andainya alam sekitar terus dinodai, apa yang akan menjadi tinggalan untuk generasi yang akan datang? Jika tidak kita yang mulakan, siapa lagi?



Anyone Of Us
Jam 1812
Ahad
6 Disember 2009
19 Zulhijjah 1430


Rujukan :

1)    [1] http://ms.wikipedia.org/wiki/Alam_sekitar
2)    http://zulzaidi.wordpress.com/2008/06/06/masyarakat-kurang-prihatin-terhadp-isu-alam-sekitar/
3)    http://odysseyrovers.blogspot.com/2009/01/peranan-mahasiswa.html
4)    http://mstar.com.my/variasi/suara_alternatif/cerita.asp?file=/2009/9/18/mstar_suara_alternatif/20090918164913&sec=mstar_suara_alternatif
5)    http://www.petitiononline.com/ABUP2008/petition.html
6)    http://lutfihafifi.com/v1/perjalanan-ini/selamatkan-dunia/

 
Sunday, December 6, 2009

Dunia Kita Sekarang

Perasankah anda sekarang bahawa bumi kita sekarang seakan-akan ingin memberontak? Begitu banyak bala bencana yang melanda dunia. Gempa bumi, banjir besar, tsunami dan lain-lain lagi semakin kerap berlaku.

Sedarkah anda bahawa kita sedang menerima padah akibat perbuatan kita sendiri? Selama ini kita bersikap tidak adil terhadap alam sekitar bahkan memandang remeh kepadanya. Sikap kita yang begitu rakus mengaut keuntungan daripada alam sekitar - pembalakan, penambakan laut dan lain-lain lagi akhirnya membawa kebinasaan kepada diri kita sendiri.

Sebenarnya, alam ini dianugerahkan kepada kita untuk kita jaga dan urus dengan baik. Alam ini juga satu amanah dari Allah. Setiap dari kita ini mempunyai tanggungjawabnya masing-masing terhadap alam sekitar. Apa saja yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, akan disoal dan ditanya. Sudahkah anda bersedia untuk semua itu?

Tanya diri anda sendiri:

  1. Pernahkah aku mengambil tahu tentang alam sekitar?
  2. Pernahkah aku merosakkan alam sekitar?
  3. Adakah perbuatanku akhirnya menyakiti alam sekitar?
  4. Pernahkah aku berusaha membawa kebaikan kepada alam sekitar?
Jika dilihat kepada situasi sekarang, masyarakat kita sebenarnya semakin jauh dengan alam sekitar padahal alam sekitar itu sentiasa membantu kita setiap saat dan ketika.

Ayuh semua!! Kita makmurkan alam kita ini. Hijaukan mereka kembali!!

Ingatlah amanah dari-Nya yang terpikul di atas bahu kita.

Amin.
Wednesday, November 18, 2009

Bengkel Visualisasi Dalam Program Penglibatan





Bengkel Visualisasi Dalam Program Penglibatan

13-15 November 2009
WorldFish Centre, Batu Maung, Pulau Pinang

Anjuran:

Penang VIPP Community of Practice
United Nations International Children Emergency Funds (UNICEF)
Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS)
Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
WorldFish Centre.


Peserta dari CARE IPGM Kampus Tuanku Bainun:

Siti Norattiqah Azman
Muna 'Izzah Md Isa
Mohamad Syamsul Izwan Bin Md Fauzi


Objektif Program

  1. Meningkatkan kemahiran pemudahcara dalam suasana yang tenang dan memberangsangkan.

  2. Mengukuhkan kemahiran visualisasi dan memudahcara bersama kumpulan pelatih yang berpengalaman.

  3. Melalui pengalaman menggunakan kaedah latihan yang menarik untuk meningkatkan kreativiti dan kerjasama dalam kumpulan.

  4. Merekabentuk program latihan tersendiri dengan panduan pelatih berpengalaman.

  5. Mengumpulkan sumber untuk penerbitan manual VIPP dalam format Bahasa Melayu.





^Aktiviti Siput-siput.
Dari kiri: Hafez (Prince of Songkla University, Thailand), Muna 'Izzah (CARE) dan Encik Meor (Sahabat Alam Malaysia-Perak)



^Persembahan Sketsa



^Aktiviti Berkumpulan - Projek Katakan Tidak Kepada Polisterina



^ Saudari Attiq sedang membentangkan projek CARE.



^ Pembentangan Projek Anti-Polisterina



^VIPP


^ Perbincangan bersama wakil-wakil dari pelbagai NGO



^ Peserta-peserta yang menyertai VIPP 2009
Thursday, November 12, 2009

Pameran Kesedaran Alam Sekitar-Care IPTB

Salam alaik..

Pada 7hb Nov 2oo9, CARE IPGM KTB telah mengadakan Pameran Kesedaran Alam Sekitar sempena Hari Kokurikulum Sekolah - Sekolah Kebangsaan Mohd Shah, Tasek Gelugor, P.Pinang. Seramai 11 orang ahli CARE telah bertugas untuk melaksanakan pameran kali ini.

Alhamdulillah, dengan berkat usaha yang diberikan oleh semua ahli, kami dapat menjayakan pameran kali ini dengan lancar. Walaupun terdapat beberapa kesulitan, ianya dapat diatasi dengan baik. Pameran ini berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 1 tengah hari.

ahli-ahli ini dibahagikan mengikut tugasan masing-masing seperti KREW Pameran, KREW Permainan dan KREW teknikal.

Ahli-ahli yang terlibat ialah:

ANIS BT ABD RAHIM (PIC)

HABIBA NABIHAH BINTI MUSTAFA

MOHD HAKIMI B ABDUL MULALEK

KU NORASHIKIN BT HALIM

SITI JAMILAH BT MD ISA

MUHAMMAD KHAIRUL AMIN B ROMLI

NORIN BT SHAARI

NURUL HIDAYAH BT AHMAD SHAHBUDIN

MUHAMAD SHAFEEZ IZUAN B MOHD ISA (IPDA)

MOHAMAD SYAMSUL IZWAN BIN MD FAUZI DAN

MUHD NOH HILMI

Antara aktiviti yang diadakan ialah permainan bercorak pendidikan seperti Dam Ular & Puzzle, Kuiz Alam Sekitar dan Pameran Alam Sekitar. Aktiviti permainan ini telah berjaya menarik perhatian ramai terutamanya murid-murid Sk Mohd Shah untuk terus berada di tapak pameran.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang tempoh pameran diadakan.


^Permainan PUZZLE

^Penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti permainan oleh
Tuan Haji Abu Bakar Bin Muad
(Pegawai Pelajaran Daerah Utara)


^Tayangan slide show aktiviti CARE

^Penerangan tentang kepentingan Hutan Paya Bakau

^Kuiz kepada murid yang mengunjungi tapakpameran

^Jualan buku-buku terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

^Ahli-ahli CARE yang bertanggungjawab menjayakan PAMERAN kali ini.


Sesungguhnya, saya selaku PIC dalam aktiviti kali ini sangat bersyukur kerana seluruh krew pameran kali ini dapat melaksanakan tugas ini dengan jayanya . Ini adalah julung-julung kalinya pameran ini diadakan sepenuhnya oleh ahli-ahli CARE IPGM KTB tanpa kehadiran Pegawai SAM. Saya juga amat berbangga dengan KREW Pameran kerana dapat menjalankan tugas mereka dengan sangat baik walaupun ramai di antara mereka masih "hijau" dalam pengendalian aktiviti pada hari itu..

Akhir kata, bukan saya memilih anda untuk berada di situ, tetapi Allah Maha Kuasa telah menggerakkan hati-hati kita untuk terus berjuang dijalanNYA. Semoga apa yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk program yang akan datang. Semoga Allah menyatukan hati-hati kita dalam menuju jalan yang diredhaiNYA.

Amin.


"Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan."

"Ketahuilah bahawa kesusahan itu akan membuka pendengaran dan penglihatan, menghidupkan hati, mendewasakan jiwa, mengingatkan hamba dan menambah pahala."


oleh:




Anis Abd Rahim